Search This Blog

Showing posts with label Tuhan. Show all posts
Showing posts with label Tuhan. Show all posts

04 February, 2016

Satu Jam Untuk Tuhan



Setelah itu Ia kembali kepada murid-murid-Nya itu dan mendapati mereka sedang tidur. Dan Ia berkata kepada Petrus: "Tidakkah kamu sanggup berjaga-jaga satu jam dengan Aku?  Berjaga-jagalah dan berdoalah, supaya kamu jangan jatuh ke dalam pencobaan: roh memang penurut, tetapi daging lemah." (Matius 26:40, 41)

“Doa tidak merubah segalanya bagi anda, doa mengubah anda untuk menghadapi segalanya”. Inilah ungkapan yang sering memperkuatkan saya. Ketika membacakan petikan ini, rasanya segenap jiwa raga saya seakan terhibur. Kenapa? Jangan fikir apabila anda berdoa anda akan banyak wang, jika pada waktu itu anda sangat kesempitan. Jangan fikir apabila anda berdoa anda akan sembuh dari penyakit anda, jika pada waktu itu anda sedang menderita sakit. Jangan fikir apabila anda berdoa anda akan cemerlang dalam peperiksaan yang anda hadapi, jika pada waktu itu anda sedang menghadapi peperiksaan. Jangan fikir apabila anda berdoa anda tidak akan terbabit dalam kemalangan, jika pada waktu itu tiba-tiba anda kemalangan. Jangan fikir apabila anda berdoa anda tidak kehilangan mereka yang sangat anda kasihi, jika pada waktu itu mereka yang sangat anda kasihi sedang menderita. Fikirkan bahawa apabila anda berdoa, anda akan mampu menghadapi segala persoalan hidup ini. Anda akan damai. Anda akan aman. Anda akan terus mampu memanjatkan rasa syukur dan terima kasih kepada Tuhan yang sempurna dalam kasih itu.

Saat-saat terakhir sebelum Dia dibelenggu dan dibawah ke pengadilan pada malam itu, Yesus Kristus mengambil waktu untuk bersama-sama dengan beberapa orang murid-Nya ke bukit Zaitun. Dia membawa mereka ke sana sebenarnya untuk berdoa khusus untuk Dia. Yesus tahu yang tidak lama lagi Dia akan menghadapi siksaan dan penganiayaan yang paling kejam akibat dosa-dosa manusia. Tinggal beberapa waktu lagi Dia akan dikorbankan. Lalu Yesus merasa sedih. Dia juga gentar. Inilah waktu yang paling menggerunkan. Pada saat-saat seperti ini, Yesus mendambakan dorongan melalui doa oleh ketiga orang murid-Nya dan juga sahabat-Nya. "Hati-Ku sangat sedih, seperti mau mati rasanya. Tinggallah di sini dan berjaga-jagalah dengan Aku." (ayat 38). Tetapi murid-murid-Nya sekali lagi lalai dan terlelap. Tiga kali Dia kembali ke tempat ketiga murid itu berada dan tiga kali Dia dapati mereka tertidur. Lalu Dia berkata, "... Tidakkah kamu sanggup berjaga-jaga satu jam dengan Aku? Berjaga-jagalah dan berdoalah, supaya kamu jangan jatuh ke dalam pencobaan: roh memang penurut, tetapi daging lemah." (ayat 40, 41). Inilah antara ungkapan terakhir Yesus sebelum Dia ditangkap pada malam itu. Apa makna ungkapan Yesus Kristus itu bagi anda secara peribadi?

Saudara-saudari yang dikasihi dalam Yesus Kristus, setiap kita ada 24 jam dalam sehari. Tidak lebih dan tidak kurang. 12 jam siang dan 12 jam malam. Bagaimana kita mempergunakan 24 jam tersebut? Dari 24 jam tersebut Yesus Kristus mahu agar kita menyisihkan hanya 1 jam sahaja dari masa sehari kita untuk Dia. Fikirkan jika andalah yang bersama dengan Dia di Taman Getsamane itu pada malam terakhir Dia ditangkap. Setelah anda sedar pada lelapan anda yang kedua dan anda dapati muka dan jubah Yesus yang putih itu diseliputi peluh warna merah darah, tidakkah ada rasa kasihan dan keharuan di hati dan jiwa anda? Apakah anda akan tidur semula selepas sedar kerana Yesus beredar lagi untuk berdoa? [Ia sangat ketakutan dan makin bersungguh-sungguh berdoa. Peluh-Nya menjadi seperti titik-titik darah yang bertetesan ke tanah.](Lukas 22:44).

Lemah dan tidak berdaya! Inilah sifat-sifat alami dan manusiawi setiap manusia. Tiada yang terkecuali. Itu sebab kenapa Yesus menegaskan bahawa, [“... roh memang penurut, tetapi daging lemah.] (Matius 26:41). Kita patut mempergunakan sekurang-kurangnya 1 jam untuk Tuhan kita setiap hari. Merenungkan Firman Tuhan dan berdoa. 15 minit diwaktu pagi. 15 minit ditengahari. 15 minit diwaktu petang dan 15 minit diwaktu senja atau awal malam. Selebihnya dari masa kita, bukan itu kita pergunakan untuk mengerjakan pekerjaan kita demi kemuliaan nama Tuhan?

30 June, 2015

Selamatkanlah Aku



Tolonglah aku, ya TUHAN, Allahku, selamatkanlah aku sesuai dengan kasih setia-Mu. (Mazmur 109:26).

Sementara perempuan itu merasakan ketidak-berdayaanya, Simon, si tuan rumah begitu asyik memikirkan tindakan apa yang Yesus mahu lakukan. Jauh di sudut hatinya, dia berkira-kira agar Yesus mengherdik dan menghalau perempuan itu dari ruang tamu rumahnya dimana jamuan itu sedang berlangsung. Dia mahu perempuan itu menghilangkan dirinya agar kejijikan dan kenajisan perempuan itu tidak memusnahkan suasana riang sementara orang-orang yang dia jemput menjamu selera dengan hidangan yang telah disediakan. Namun telahanya jauh meleset. Yesus mampu membaca gerak-geri setiap manusia namun Dia lebih mampu melihat isi hati sesiapa pun juga.

Kristus tersentuh dengan angan-angan dan niat tuan rumah, Simon, tetapi emosi Yesus lebih tersentuh dan terharu ketika perempuan itu bertindak luar biasa. Kasih Yesus sejak semula tidak pernah berubah. Kasih Yesus tidak pernah memilih bulu. Kasih Yesus tidak pernah memilih bangsa. Kasih Yesus tidak pernah memilih jantina. Kasih Yesus tidak pernah memilih status. Kasih Yesus tidak pernah memilih kedudukan. Kasih Yesus tidak pernah memilih suasana. Kasih Yesus tersentuh apabila seorang berdosa menyerahkan hidupnya kepada Dia. Bahkan kasih Yesus lebih tersentuh apabila seorang berdosa bertobat dan berbalik kepada Tuhan.

Saudara, minyak itu adalah segala-galanya bagi perempuan tersebut. Itulah satu-satunya harta yang dia miliki saat itu. Harta yang sangat bernilai baginya. Sekian lama dia mengumpul wang untuk minyak tersebut. Dia sudah bersusah payah berjimat hanya untuk mendapatkan minyak itu. Tetapi hari ini, disaat ini, dia tidak pedulikanya lagi. Dosanya lebih dashyat. Bebanan dosa yang sedang dia tanggung menghimpit kehidupanya. Dalam hatinya berbisik, “cukuplah sekali ini sahaja”. Jiwanya luruh secara tiba-tiba. Air matanya tidak mampu lagi ditahan. Sudah sekian lama dia mendengar mengenai Yesus Kristus. Selama itu jugalah dia mendambakan keampunan dosa-dosa yang hampir-hampir tidak tertanggungkan. Namun tidak pernah dia mempunyai kesempatan seindah ini.

Lalu berlakulah kejadian yang sangat luar biasa. Banyak orang yang ada di jamuan itu bingung. Mulut mereka terlopong tidak mampu berkata-kata sepatah perkataan pun. Yang lain, mata mereka tidak mampu dikelipkan. Mereka sehati, sefikir dan sekata, tertanya-tanya kenapa minyak yang begitu berharga dibazirkan begitu sahaja. Penyerahan jiwa, hati, perasaan, emosi dan raga yang paling luhur perempuan berdosa itu kepada Yesus menjadikan suasana ketika itu menjadi sangat hening. Lalu esakan tangis paling syhadu kedengaran. “Sambil menangis ia pergi berdiri di belakang Yesus dekat kaki-Nya, lalu membasahi kaki-Nya itu dengan air matanya dan menyekanya dengan rambutnya, kemudian ia mencium kaki-Nya dan meminyakinya dengan minyak wangi itu.” (Lukas 7:38). Sanubari pertama yang menjadi runtun ialah jiwa Yesus Kristus sendiri. Bukan kerana kaki-Nya diminyaki. Bukan kerana perempuan menyeka kaki-Nya dengan rambutnya yang indah mengurai itu. Yesus mampu menyelami penyerahan yang paling luhur. Yesus mampu menyelami isi hati perempuan itu. Tidak ada kepura-puraan. Tidak ada kesangsian. Tidak ada keragu-raguan. Hanya penyesalan, pertobatan dan penyerahan kepada Tuhan.

Sejurus kemudian suasana menjadi paling indah bagi perempuan tersebut. Bukan kerana peluang indah yang dia tidak lepaskan tetapi kata-kata Yesus yang paling sempurna dalam kasih, pengampunan dan penerimaan. "Dosamu telah diampuni." (Lukas 7:48). "Imanmu telah menyelamatkan engkau, pergilah dengan selamat!" (Lukas 7:50). Saudara, inilah kata-kata yang sudah sekian lama dan sentiasa saya tunggu-tunggu selama ini. Bagaimana dengan anda?

18 January, 2012

Paling Berharga

Sekalipun ada emas dan permata banyak, tetapi yang paling berharga ialah bibir yang berpengetahuan. Amsal 20:15


Raja Solomo terkenal dengan kebijaksanaan yang tidak terhingga. Ini adalah anugerah dan pemberian dari Tuhan. Disamping kebijaksanaan, dia juga memiliki kekayaan yang tidak ada bandingannya di mana pun di permukaan bumi ini. Itulah yang pernah ada dalam sejarah dunia: kekayaan!