Search This Blog

Showing posts with label kasih Tuhan. Show all posts
Showing posts with label kasih Tuhan. Show all posts

08 December, 2015

Tuhan Perlindungan Dan Kekuatan



Tuhan itu bagi kita tempat perlindungan dan kekuatan, sebagai penolong dalam kesesakan sangat terbukti. Mazmur 46:2

Ayat inti kita pagi ini adalah antara ayat dari Firman Tuhan yang menjadi kesukaan saya dan selalu saya baca sejak di bangku sekolah lagi. Sedar atau tidak sedar, sebenarnya keberadaan kita di muka bumi ini bukan secara kebetulan. Jika kita mengamati alam yang ada di sekeliling kita, kita mungkin terpegun memikirkan segala-galanya yang mata kita mampu lihat. Jagad raya yang tiada sempadan, lautan luas yang tidak bertepi, daratan yang dipenuhi dengan segala kehidupan dan … ah, kita tidak mampu menyelaminya. Sungguh menakjubkan. Kemuliaan hanya kepada Tuhan Yang Maha Kuasa. Hanya kepada-Nya kita boleh berserah.

Kita mungkin pernah berfikir mengenai siapalah kita ini diantara berbilion manusia yang hidup di bumi ini. Namun Tuhan sangat peduli dengan kita. Sedangkan Alkitab sendiri memperincikan mengenai kejadian setiap satu daripada kita. Kita baca, "Sebelum Aku membentuk engkau dalam rahim ibumu, Aku telah mengenal engkau, ..." (Yeremia 1:5). Lihat, Tuhan mengenal kita sebelum pun kita terbentuk dalam rahim ibu kita bahkan Tuhan sendirilah yang telah membentuk kita. Kalau Tuhan tahu kita sebelum kita ada, sudah tentu segala keperluan kita Dia tahu sebelum kita terbentuk. Segala keberadaan kita Dia tahu. Segala keperluan kita tidak terlepas dari pandangan mata-Nya bahkan tidak pernah jauh dari sanubari-Nya yang mulia itu. Tidak hairanlah jika raja Daud mengatakan bahawa “Tuhan itu bagi kita tempat perlindungan dan kekuatan, sebagai penolong dalam kesesakan sangat terbukti.”

Pernahkah anda merasa bahawa anda tidak ada siapa-siapa lagi ketika kehidupan terasa sangat sukar? Pernahkah anda merasa bahawa kehidupan sudah tidak bererti lagi? Pernahkah anda merasa bahawa segala usaha anda selama ini tidak berbaloi? Pernahkah anda merasa bahawa dunia tidak menyebelahi anda lagi? Pernahkah anda merasa bahawa segala sesuatu seakan menantang anda? Pernahkah anda merasa bahawa segala sesuatu yang anda perbuat tidak menjadi? Pernahkah anda merasa bahawa segala kesukaran, derita dan masalah lainnya tidak pernah berakhir? Pernahkah anda merasa bahawa hanya mengakhiri hidup ini membuatkan anda seakan bahagia?

Saudara-saudari yang dikasihi dalam Yesus Kristus, Tuhan yang berlimpah dengan kasih setia, tidak pernah berjuhan dengan kita. Sering kita merasa keseorangan dan merasa seakan Tuhan jauh dari kita sebab kita tidak pernah mahu membiarkan Tuhan mengurus kehidupan kita. Tidak pernah! Kita tidak pernah mahu bersyukur kepada-Nya walaupun nikmat rahmat sentiasa Dia limpahkan kepada kita. Sedangkan berdoa pun kita lalai, bagaimana mungkin kita mampu mendengar bisikan-Nya yang lembut dan penuh kasih itu?  

 

Percayalah, Tuhan itu bukan sahaja kekuatan kita bahkan Dia adalah tempat perlindungan. Dalam Dia ada tempat yang paling selamat. Dalam Dia ada rumah yang paling berbahagia. Dalam Dia ada jaminan kedamaian dan keamanan. Malah sepanjang sejarah manusia, hanya dalam Dia ada kubu yang teguh dan kukuh. Kita sepatutnya tidak perlu merasa goyah. Apa pun keadaan, letakkan iman kita hanya kepada Tuhan. Sebagai mana raja Daud serahkan kehidupannya kepada Tuhan, kita pun juga patut menyerahkan kehidupan kita 100% hanya kepada Tuhan dan kita akan merasa aman dan damai. Kita renungkan ayat penyimpul kita pagi ini. Kita baca, [Allah itu bagi kita tempat perlindungan dan kekuatan, sebagai penolong dalam kesesakan sangat terbukti. Sebab itu kita tidak akan takut, sekalipun bumi berubah, sekalipun gunung-gunung goncang di dalam laut; sekalipun ribut dan berbuih airnya, sekalipun gunung-gunung goyang oleh geloranya. S e l a] (Mazmur 46:2 – 4)

30 June, 2015

Selamatkanlah Aku



Tolonglah aku, ya TUHAN, Allahku, selamatkanlah aku sesuai dengan kasih setia-Mu. (Mazmur 109:26).

Sementara perempuan itu merasakan ketidak-berdayaanya, Simon, si tuan rumah begitu asyik memikirkan tindakan apa yang Yesus mahu lakukan. Jauh di sudut hatinya, dia berkira-kira agar Yesus mengherdik dan menghalau perempuan itu dari ruang tamu rumahnya dimana jamuan itu sedang berlangsung. Dia mahu perempuan itu menghilangkan dirinya agar kejijikan dan kenajisan perempuan itu tidak memusnahkan suasana riang sementara orang-orang yang dia jemput menjamu selera dengan hidangan yang telah disediakan. Namun telahanya jauh meleset. Yesus mampu membaca gerak-geri setiap manusia namun Dia lebih mampu melihat isi hati sesiapa pun juga.

Kristus tersentuh dengan angan-angan dan niat tuan rumah, Simon, tetapi emosi Yesus lebih tersentuh dan terharu ketika perempuan itu bertindak luar biasa. Kasih Yesus sejak semula tidak pernah berubah. Kasih Yesus tidak pernah memilih bulu. Kasih Yesus tidak pernah memilih bangsa. Kasih Yesus tidak pernah memilih jantina. Kasih Yesus tidak pernah memilih status. Kasih Yesus tidak pernah memilih kedudukan. Kasih Yesus tidak pernah memilih suasana. Kasih Yesus tersentuh apabila seorang berdosa menyerahkan hidupnya kepada Dia. Bahkan kasih Yesus lebih tersentuh apabila seorang berdosa bertobat dan berbalik kepada Tuhan.

Saudara, minyak itu adalah segala-galanya bagi perempuan tersebut. Itulah satu-satunya harta yang dia miliki saat itu. Harta yang sangat bernilai baginya. Sekian lama dia mengumpul wang untuk minyak tersebut. Dia sudah bersusah payah berjimat hanya untuk mendapatkan minyak itu. Tetapi hari ini, disaat ini, dia tidak pedulikanya lagi. Dosanya lebih dashyat. Bebanan dosa yang sedang dia tanggung menghimpit kehidupanya. Dalam hatinya berbisik, “cukuplah sekali ini sahaja”. Jiwanya luruh secara tiba-tiba. Air matanya tidak mampu lagi ditahan. Sudah sekian lama dia mendengar mengenai Yesus Kristus. Selama itu jugalah dia mendambakan keampunan dosa-dosa yang hampir-hampir tidak tertanggungkan. Namun tidak pernah dia mempunyai kesempatan seindah ini.

Lalu berlakulah kejadian yang sangat luar biasa. Banyak orang yang ada di jamuan itu bingung. Mulut mereka terlopong tidak mampu berkata-kata sepatah perkataan pun. Yang lain, mata mereka tidak mampu dikelipkan. Mereka sehati, sefikir dan sekata, tertanya-tanya kenapa minyak yang begitu berharga dibazirkan begitu sahaja. Penyerahan jiwa, hati, perasaan, emosi dan raga yang paling luhur perempuan berdosa itu kepada Yesus menjadikan suasana ketika itu menjadi sangat hening. Lalu esakan tangis paling syhadu kedengaran. “Sambil menangis ia pergi berdiri di belakang Yesus dekat kaki-Nya, lalu membasahi kaki-Nya itu dengan air matanya dan menyekanya dengan rambutnya, kemudian ia mencium kaki-Nya dan meminyakinya dengan minyak wangi itu.” (Lukas 7:38). Sanubari pertama yang menjadi runtun ialah jiwa Yesus Kristus sendiri. Bukan kerana kaki-Nya diminyaki. Bukan kerana perempuan menyeka kaki-Nya dengan rambutnya yang indah mengurai itu. Yesus mampu menyelami penyerahan yang paling luhur. Yesus mampu menyelami isi hati perempuan itu. Tidak ada kepura-puraan. Tidak ada kesangsian. Tidak ada keragu-raguan. Hanya penyesalan, pertobatan dan penyerahan kepada Tuhan.

Sejurus kemudian suasana menjadi paling indah bagi perempuan tersebut. Bukan kerana peluang indah yang dia tidak lepaskan tetapi kata-kata Yesus yang paling sempurna dalam kasih, pengampunan dan penerimaan. "Dosamu telah diampuni." (Lukas 7:48). "Imanmu telah menyelamatkan engkau, pergilah dengan selamat!" (Lukas 7:50). Saudara, inilah kata-kata yang sudah sekian lama dan sentiasa saya tunggu-tunggu selama ini. Bagaimana dengan anda?