Dari atas
dikirim-Nya api masuk ke dalam tulang-tulangku; dihamparkan-Nya jaring di muka
kakiku, didesak-Nya aku mundur; aku dibuat-Nya terkejut, kesakitan sepanjang
hari.
Ratapan
1:13
Saya benar-benar
terkesan dengan ayat dari Firman Tuhan. Benarlah apa yang Alkitab katakan
mengenai dirinya sebagai pedang bermata dua. “Sebab firman Allah hidup dan
kuat dan lebih tajam dari pada pedang bermata dua mana pun; ia menusuk amat
dalam sampai memisahkan jiwa dan roh, sendi-sendi dan sumsum; ia sanggup
membedakan pertimbangan dan pikiran hati kita,” (Ibrani 4:12).
Akhir-akhir ini
saya perasaan dengan perubahan yang sangat ketara dengan keadaan tubuh badan.
Dulu ketika ayah dan ibu saya masih lagi hidup, mereka seakan merintih
kesakitan tak kiralah sama ada mereka mahu bergerak dan berdiri dari tempat
duduk atau mahu bangun dari tempat pembaringan. Mereka kata tubuh badan,
sendi-sendi dan otot-otot mereka sakit-sakit belaka. Ruang bilik tidur mereka
tidak sah kalau tidak ada ubat gosok atau ubat urut.
Semakin umur
kita meningkat semakin banyak kerosakan yang berlaku pada tubuh badan kita.
Kalau dulu sewaktu umur belasan tahun atau dua puluhan dan awal tiga puluhan,
kesakitan jarang benar kita alami. Kalau sakit pun ia akan sembuh dengan cepat
sekali.
Percayalah tubuh
badan manusia tidak selamanya cergas, kuat, gagah dan teguh. Akan tiba masanya
bilamana seorang manusia itu akan terlantar lemah dan lesu di tempat pembaringanya
kerana sakit. Ini berlaku sehingga kepada saat-saat akhir hidupnya di dunia
ini. Benarlah apa orang kebanyakan cakap bahawa umur senja hanya ibarat sebagai
‘jangka waktu rintihan sarang kosong seorang manusia’. Aduh, ini benar-benar
menjadi tragedi hidup. Saya benar-benar terkesan dengan akibat dosa di dunia
ini. Manusia harus menanggungnya. Menanggung penderitaan kesakitan dan
kesangsaraan sementara menantikan detik-detik akhir hembusan nyawanya.
Saya tidak faham
sama ada saya memang kena penyakit ‘gout’. Saya sudah lama mendengar mengenai
penyakit sendi ini. Rakan-rakan rapat sering mengatakan bahawa gout sangat
sakit. Hendak gerakan persendian pun nyerinya tidak tertahankan. Benar-benar
sakit.
Tidak lama
dahulu, saya merasa suatu kelainan pada sendi lutut kanan saya. Sakitnya luar
biasa. Kalau boleh mahu saja lutut itu saya ketuk. Nak bengkok sakit, nak lurus
pun sakit. Aduh, benar-benar sakit. Rasa sakit nyeri itu berlangsung dua
minggu. Sepanjang dua minggu rasa sakitnya tidak konsisten. Ada masanya ia
sangat sakit sehingga saya gementar dan mengigil menahan sakit dan ada masanya
ia reda sedikit.
Saudara-saudari
yang dikasihi dalam Tuhan, Ratapan 1:13 menjelaskan segalanya. Tapi saya tahu
kesakitan itu sebenarnya bukanlah dari Tuhan. Sebab Tuhan tidak pernah
menginginkan sesuatu yang jahat atau yang tidak baik berlaku kepada
umat-umat-Nya. Tetapi kesakitan itu adalah akibat dari kesilapan diri sendiri.
Mungkin saya melanggar peraturan kesihatan sehingga saya mengambil terlalu
banyak makanan yang mengandungi daging dan bahan makanan lainnya yang tidak
bagus untuk tubuh badan jika diambil berlebihan.
Setiap kesilapan
pasti ada kesan dan akibatnya. Jika tidak, manusia tidak pernah akan
mempelajari sesuatu. Saya fikir kesakitan yang saya alami itu sebenarnya
memberikan satu isyarat yang sangat penting dan berguna kepada saya agar
sentiasa berhati-hati dan mengamalkan kesederhanaan dalam kehidupan bukan saja
setiap hari bahkan setiap saat. Satu saya belajar di sini: mencegah jauh lebih
baik dari mengubati. Tetapi manusia selalu khilap sebab itu kesakitan
kadang-kadang muncul untuk memberi kesedaran.