Tuhan itu bagi kita tempat perlindungan dan
kekuatan, sebagai penolong dalam kesesakan sangat terbukti. Mazmur 46:2
Ayat inti
kita pagi ini adalah antara ayat dari Firman Tuhan yang menjadi kesukaan saya
dan selalu saya baca sejak di bangku sekolah lagi. Sedar atau tidak sedar,
sebenarnya keberadaan kita di muka bumi ini bukan secara kebetulan. Jika kita
mengamati alam yang ada di sekeliling kita, kita mungkin terpegun memikirkan
segala-galanya yang mata kita mampu lihat. Jagad raya yang tiada sempadan,
lautan luas yang tidak bertepi, daratan yang dipenuhi dengan segala kehidupan
dan … ah, kita tidak mampu menyelaminya. Sungguh menakjubkan. Kemuliaan hanya kepada
Tuhan Yang Maha Kuasa. Hanya kepada-Nya kita boleh berserah.
Kita mungkin
pernah berfikir mengenai siapalah kita ini diantara berbilion manusia yang
hidup di bumi ini. Namun Tuhan sangat peduli dengan kita. Sedangkan Alkitab
sendiri memperincikan mengenai kejadian setiap satu daripada kita. Kita baca, "Sebelum
Aku membentuk engkau dalam rahim ibumu, Aku telah mengenal engkau, ..."
(Yeremia 1:5). Lihat, Tuhan mengenal kita sebelum pun kita terbentuk dalam
rahim ibu kita bahkan Tuhan sendirilah yang telah membentuk kita. Kalau Tuhan
tahu kita sebelum kita ada, sudah tentu segala keperluan kita Dia tahu sebelum
kita terbentuk. Segala keberadaan kita Dia tahu. Segala keperluan kita tidak
terlepas dari pandangan mata-Nya bahkan tidak pernah jauh dari sanubari-Nya
yang mulia itu. Tidak hairanlah jika raja Daud mengatakan bahawa “Tuhan itu
bagi kita tempat perlindungan dan kekuatan, sebagai penolong dalam kesesakan sangat
terbukti.”
Pernahkah anda
merasa bahawa anda tidak ada siapa-siapa lagi ketika kehidupan terasa sangat
sukar? Pernahkah anda merasa bahawa kehidupan sudah tidak bererti lagi?
Pernahkah anda merasa bahawa segala usaha anda selama ini tidak berbaloi?
Pernahkah anda merasa bahawa dunia tidak menyebelahi anda lagi? Pernahkah anda
merasa bahawa segala sesuatu seakan menantang anda? Pernahkah anda merasa
bahawa segala sesuatu yang anda perbuat tidak menjadi? Pernahkah anda merasa
bahawa segala kesukaran, derita dan masalah lainnya tidak pernah berakhir?
Pernahkah anda merasa bahawa hanya mengakhiri hidup ini membuatkan anda seakan
bahagia?
Saudara-saudari
yang dikasihi dalam Yesus Kristus, Tuhan yang berlimpah dengan kasih setia,
tidak pernah berjuhan dengan kita. Sering kita merasa keseorangan dan merasa
seakan Tuhan jauh dari kita sebab kita tidak pernah mahu membiarkan Tuhan
mengurus kehidupan kita. Tidak pernah! Kita tidak pernah mahu bersyukur
kepada-Nya walaupun nikmat rahmat sentiasa Dia limpahkan kepada kita. Sedangkan
berdoa pun kita lalai, bagaimana mungkin kita mampu mendengar bisikan-Nya yang
lembut dan penuh kasih itu?