Tolonglah aku, ya TUHAN, Allahku, selamatkanlah aku sesuai dengan kasih setia-Mu. (Mazmur 109:26).
Sementara perempuan itu merasakan
ketidak-berdayaanya, Simon, si tuan rumah begitu asyik memikirkan tindakan apa
yang Yesus mahu lakukan. Jauh di sudut hatinya, dia berkira-kira agar Yesus
mengherdik dan menghalau perempuan itu dari ruang tamu rumahnya dimana jamuan
itu sedang berlangsung. Dia mahu perempuan itu menghilangkan dirinya agar
kejijikan dan kenajisan perempuan itu tidak memusnahkan suasana riang sementara
orang-orang yang dia jemput menjamu selera dengan hidangan yang telah
disediakan. Namun telahanya jauh meleset. Yesus mampu membaca gerak-geri setiap
manusia namun Dia lebih mampu melihat isi hati sesiapa pun juga.
Kristus tersentuh dengan angan-angan dan niat
tuan rumah, Simon, tetapi emosi Yesus lebih tersentuh dan terharu ketika
perempuan itu bertindak luar biasa. Kasih Yesus sejak semula tidak pernah
berubah. Kasih Yesus tidak pernah memilih bulu. Kasih Yesus tidak pernah
memilih bangsa. Kasih Yesus tidak pernah memilih jantina. Kasih Yesus tidak
pernah memilih status. Kasih Yesus tidak pernah memilih kedudukan. Kasih Yesus
tidak pernah memilih suasana. Kasih Yesus tersentuh apabila seorang berdosa
menyerahkan hidupnya kepada Dia. Bahkan kasih Yesus lebih tersentuh apabila
seorang berdosa bertobat dan berbalik kepada Tuhan.
Saudara, minyak itu adalah segala-galanya
bagi perempuan tersebut. Itulah satu-satunya harta yang dia miliki saat itu. Harta
yang sangat bernilai baginya. Sekian lama dia mengumpul wang untuk minyak
tersebut. Dia sudah bersusah payah berjimat hanya untuk mendapatkan minyak itu.
Tetapi hari ini, disaat ini, dia tidak pedulikanya lagi. Dosanya lebih dashyat.
Bebanan dosa yang sedang dia tanggung menghimpit kehidupanya. Dalam hatinya
berbisik, “cukuplah sekali ini sahaja”. Jiwanya luruh secara tiba-tiba. Air
matanya tidak mampu lagi ditahan. Sudah sekian lama dia mendengar mengenai
Yesus Kristus. Selama itu jugalah dia mendambakan keampunan dosa-dosa yang
hampir-hampir tidak tertanggungkan. Namun tidak pernah dia mempunyai kesempatan
seindah ini.
Lalu berlakulah kejadian yang sangat luar
biasa. Banyak orang yang ada di jamuan itu bingung. Mulut mereka terlopong
tidak mampu berkata-kata sepatah perkataan pun. Yang lain, mata mereka tidak
mampu dikelipkan. Mereka sehati, sefikir dan sekata, tertanya-tanya kenapa
minyak yang begitu berharga dibazirkan begitu sahaja. Penyerahan jiwa, hati,
perasaan, emosi dan raga yang paling luhur perempuan berdosa itu kepada Yesus
menjadikan suasana ketika itu menjadi sangat hening. Lalu esakan tangis paling
syhadu kedengaran. “Sambil menangis ia pergi berdiri di belakang Yesus dekat
kaki-Nya, lalu membasahi kaki-Nya itu dengan air matanya dan menyekanya dengan
rambutnya, kemudian ia mencium kaki-Nya dan meminyakinya dengan minyak wangi
itu.” (Lukas 7:38). Sanubari pertama yang menjadi runtun ialah jiwa Yesus
Kristus sendiri. Bukan kerana kaki-Nya diminyaki. Bukan kerana perempuan
menyeka kaki-Nya dengan rambutnya yang indah mengurai itu. Yesus mampu
menyelami penyerahan yang paling luhur. Yesus mampu menyelami isi hati
perempuan itu. Tidak ada kepura-puraan. Tidak ada kesangsian. Tidak ada
keragu-raguan. Hanya penyesalan, pertobatan dan penyerahan kepada Tuhan.
Sejurus kemudian suasana menjadi paling indah
bagi perempuan tersebut. Bukan kerana peluang indah yang dia tidak lepaskan
tetapi kata-kata Yesus yang paling sempurna dalam kasih, pengampunan dan
penerimaan. "Dosamu telah diampuni." (Lukas 7:48). "Imanmu telah
menyelamatkan engkau, pergilah dengan selamat!" (Lukas 7:50). Saudara,
inilah kata-kata yang sudah sekian lama dan sentiasa saya tunggu-tunggu selama
ini. Bagaimana dengan anda?