Search This Blog

04 September, 2015

Tuhan Tidak Pernah Membebani Kita



Sebab kuk yang Kupasang itu enak dan beban-Kupun ringan. (Matius 11:30)

Saya pernah mendengar seseorang pernah berkata bahawa menjadi seorang Advent itu sangat berat. Mereka kata terlalu banyak tegahan yang Advent suarakan. Mereka kata terlalu banyak larangan yang Advent katakan. Mereka kata Advent tidak memberikan kebebasan kepada mereka. Mulai dari minuman  sehingga kepada makanan, dari cara berpakaian sehingga kepada perhiasan diri, dari bahan-bahan bacaan sehingga kepada musik, dari cara-cara persahabatan sehingga kepada pergaulan. Benarkan Advent sangat membebankan? Benarkah Advent membuatkan kita tidak tenang? Benarkah Advent tidak memberikan sukacita? Sebagai seorang Advent, benarkah anda terbeban? Dari segi apa anda terbeban? Sahabat saya yang terindah, Yesus Kristus berkata, “Marilah kepada-Ku, semua yang letih lesu dan berbeban berat, Aku akan memberi kelegaan kepadamu.” (Matius 11:28).

Saya telah hidup sebagai seorang Advent sejak lahir. Saya akui saya bukanlah orang saleh. Saya bukanlah orang suci. Saya bukan ulama dalam agama Advent. Saya hanyalah orang biasa-biasa sebagaimana orang lain juga. Namun ada banyak perkara yang menyenangkan saya selama hidup-hidup saya yang singkat ini sebagai Advent. Ada banyak perkara yang jauh lebih indah mengenai Advent yang saya boleh kongsikan kepada siapa pun juga. Bukan semata-mata kerana saya Advent tetapi kerana Advent itu ada kebenaran mutlak yang patut diketahui oleh segenap lapisan manusia yang hidup di dunia ini. Bukan hanya dari segi minuman, makanan, pakaian, perhiasan, pergaulan, teknologi, hiburan, bacaan, pengangkutan, ozon, angkasa lepas, tontonan dan musik, bahkan perkara mengenai kehidupan pun Advent ada berita terkini mengenainya.

Saya tidak cerewet mengenai makanan dan minuman. Namun ada banyak kakangan yang patut saya lalui apabila memilih jenis makanan dan minuman yang saya ambil. Saya akui saya bukanlah vegetarian dan saya masih memakan bahan-bahan makanan yang bersumberkan haiwan. Yang paling utama haiwan yang tersenarai dalam Imamat 11:2 – 47 adalah senarai haiwan yang boleh dimakan dan yang tidak boleh dimakan atau haram. Demikian juga halnya dengan minuman. Alkitab sangat jelas mengenai minuman yang memabukkan. Kita baca, “Anggur adalah pencemooh, minuman keras adalah peribut, tidaklah bijak orang yang terhuyung-huyung karenanya.” (Amsal 20:1). Saya tidak pernah mengecapi kesedapan minuman nescafe walaupun kebanyakan rakan-rakan saya yang meminumnya mengatakan bahawa minuman itu sedap dan lazat, kerana air biasa jauh lebih enak bagi saya. Begitu jugalah dengan musik. Ada di antara mereka mengatakan saya ketinggalan zaman kerana menyukai musik sentimental yang hanya berkisarkan kepada kerohanian berbanding mereka yang sukakan musik bombastik yang membingitkan telinga.

Saudara-saudari yang dikasihi dalam Tuhan Yesus Kristus, jika anda merasa terbeban dengan agama dan iman anda sebagai Advent, saya takut keagamaan dan kepercayaan anda hanya bersifat luaran sahaja dan anda perlu berserah sepenuhnya kepada Kristus dan berdoa dengan lebih tekun lagi. Semua perkara yang berkaitan dengan agama Advent dan iman kita, sepatutnya kita rela menuruti dan mengamalkannya dalam kehidupan kita tanpa paksaan. Sepatutnya kita tidak rasa terbeban. Menuruti segala sesuatu mengenai Advent sepatutnya menjadi kerinduan kita sejak kita mengenali Advent kerana satu sebab iaitu kita mengasihi Yesus Kristus dan Dia mengasihi kita lebih dahulu bahkan Dia mengorbankan diri-Nya khusus untuk memberikan keselamatan kepada setiap kita, anda dan saya. Kamu tahu Yesus berkata,
"Jikalau kamu mengasihi Aku, kamu akan menuruti segala perintah-Ku.” (Yohanes 14:15). Ingatlah, jika anda merasa terbeban untuk melaksanakan semua yang dituntut oleh agama dan kepercayaan anda, sebenarnya ada kuasa lain yang cuba mempengaruhi anda. Anda dalam bahaya. Waspadalah.