Search This Blog

16 March, 2014

Hari-Hari Dengan Kesakitan



Dari atas dikirim-Nya api masuk ke dalam tulang-tulangku; dihamparkan-Nya jaring di muka kakiku, didesak-Nya aku mundur; aku dibuat-Nya terkejut, kesakitan sepanjang hari.  
Ratapan 1:13

Saya benar-benar terkesan dengan ayat dari Firman Tuhan. Benarlah apa yang Alkitab katakan mengenai dirinya sebagai pedang bermata dua. “Sebab firman Allah hidup dan kuat dan lebih tajam dari pada pedang bermata dua mana pun; ia menusuk amat dalam sampai memisahkan jiwa dan roh, sendi-sendi dan sumsum; ia sanggup membedakan pertimbangan dan pikiran hati kita,” (Ibrani  4:12).

Akhir-akhir ini saya perasaan dengan perubahan yang sangat ketara dengan keadaan tubuh badan. Dulu ketika ayah dan ibu saya masih lagi hidup, mereka seakan merintih kesakitan tak kiralah sama ada mereka mahu bergerak dan berdiri dari tempat duduk atau mahu bangun dari tempat pembaringan. Mereka kata tubuh badan, sendi-sendi dan otot-otot mereka sakit-sakit belaka. Ruang bilik tidur mereka tidak sah kalau tidak ada ubat gosok atau ubat urut.

Semakin umur kita meningkat semakin banyak kerosakan yang berlaku pada tubuh badan kita. Kalau dulu sewaktu umur belasan tahun atau dua puluhan dan awal tiga puluhan, kesakitan jarang benar kita alami. Kalau sakit pun ia akan sembuh dengan cepat sekali.

Percayalah tubuh badan manusia tidak selamanya cergas, kuat, gagah dan teguh. Akan tiba masanya bilamana seorang manusia itu akan terlantar lemah dan lesu di tempat pembaringanya kerana sakit. Ini berlaku sehingga kepada saat-saat akhir hidupnya di dunia ini. Benarlah apa orang kebanyakan cakap bahawa umur senja hanya ibarat sebagai ‘jangka waktu rintihan sarang kosong seorang manusia’. Aduh, ini benar-benar menjadi tragedi hidup. Saya benar-benar terkesan dengan akibat dosa di dunia ini. Manusia harus menanggungnya. Menanggung penderitaan kesakitan dan kesangsaraan sementara menantikan detik-detik akhir hembusan nyawanya.

Saya tidak faham sama ada saya memang kena penyakit ‘gout’. Saya sudah lama mendengar mengenai penyakit sendi ini. Rakan-rakan rapat sering mengatakan bahawa gout sangat sakit. Hendak gerakan persendian pun nyerinya tidak tertahankan. Benar-benar sakit.

Tidak lama dahulu, saya merasa suatu kelainan pada sendi lutut kanan saya. Sakitnya luar biasa. Kalau boleh mahu saja lutut itu saya ketuk. Nak bengkok sakit, nak lurus pun sakit. Aduh, benar-benar sakit. Rasa sakit nyeri itu berlangsung dua minggu. Sepanjang dua minggu rasa sakitnya tidak konsisten. Ada masanya ia sangat sakit sehingga saya gementar dan mengigil menahan sakit dan ada masanya ia reda sedikit.

Saudara-saudari yang dikasihi dalam Tuhan, Ratapan 1:13 menjelaskan segalanya. Tapi saya tahu kesakitan itu sebenarnya bukanlah dari Tuhan. Sebab Tuhan tidak pernah menginginkan sesuatu yang jahat atau yang tidak baik berlaku kepada umat-umat-Nya. Tetapi kesakitan itu adalah akibat dari kesilapan diri sendiri. Mungkin saya melanggar peraturan kesihatan sehingga saya mengambil terlalu banyak makanan yang mengandungi daging dan bahan makanan lainnya yang tidak bagus untuk tubuh badan jika diambil berlebihan.

Setiap kesilapan pasti ada kesan dan akibatnya. Jika tidak, manusia tidak pernah akan mempelajari sesuatu. Saya fikir kesakitan yang saya alami itu sebenarnya memberikan satu isyarat yang sangat penting dan berguna kepada saya agar sentiasa berhati-hati dan mengamalkan kesederhanaan dalam kehidupan bukan saja setiap hari bahkan setiap saat. Satu saya belajar di sini: mencegah jauh lebih baik dari mengubati. Tetapi manusia selalu khilap sebab itu kesakitan kadang-kadang muncul untuk memberi kesedaran.

14 March, 2014

Yesus Dianiaya Terus Menerus



Tetapi sesungguhnya, penyakit kitalah yang ditanggungnya, dan kesengsaraan kita yang dipikulnya, padahal kita mengira dia kena tulah, dipukul dan ditindas Allah.            
Yesaya 53:4

Kelmarin, hari ini dan hari-hari seterusnya seakan kesibukan kita tidak pernah berakhir. Malah hari ini kita akan menjadi lebih sibuk berbanding kelmarin. Malah mungkin esok kita akan lebih sibuk berbanding hari ini.

Kesibukan kita mengakibatkan tindakan-tindakan kita kelam kabut. Banyak perkara yang remeh seakan tidak pernah akan siap dikala kita merasa terlalu sibuk. Kadang kala kita merasa risau, kecewa, tertekan dan kuatir mengakibatkan kita panik.

Satu hari saya memulai kerja-kerja pejabat seperti hari-hari kerja yang sudah-sudah. Seperti kebiasaannya saya membawa bersama Alkitab saya. Mungkin kerana menunda-nunda, pada hari itu saya tidak pun berkesempatan membuka Firman Tuhan itu dan sekurang-kurangnya merenung satu ayat sehinggalah kepetangnya.

Akhirnya tanpa sedar, jam menunjukkan masa untuk ‘tumb print’. Maknanya masa kerja pada hari itu selesai. Lapan jam seakan tidak terasa. Dengan kelam kabut saya mengambil Alkitab yang sedari pagi sudah berada di tepi meja saya. Tanpa saya sedar kitab Yesaya pasal 53 ayat 4 menjadi tumpuan mata saya.

Saya baca ayat itu beberapa kali. Saya tahu ayat itu mengenai penganiayaan terhadap Yesus Kristus. Saya merenung ayat itu lama sekali dan memikirkannya beberapa minit.

Akhirnya Roh Kudus Tuhan menjelaskannya kepada saya. Sejak pagi sehinggalah kepetang, saya tidak membuka Alkitab itu pada hal ia terletak dekat sekali dengan saya. Tuhan mengajar saya. Dia lembut tetapi tegas. Dia memberitahu saya bahawa tindakan saya mengabaikan Firman Tuhan dan mengetepikanya hanya kerana saya banyak kerja, seakan tidak bersyukur dan tidak mengindahkan pengorbanan Yesus di kayu salib.

Sayalah yang sepatutnya kena cambuk, dipukul dan kena tulah. Tetapi pengorbanan Yesus begitu besar. Dia menggantikan tempat saya. Saya bebas dari pukulan cambuk kerana Yesus. Saya bebas dari tulah kerana Yesus. Saya bebas dari kesakitan kerana Yesus. Saya bebas dari kesangsaraan kerana Yesus. Yesus mengganti tempat saya sehingga saya selamat.

Saudara, iblis sentiasa menggunakan apa pun perkara untuk mengalihkan pandangan kita dari Firman Tuhan. Semakin saya beria-ia untuk membaca Alkitab, semakin saya tertekan kerana bersandarkan keupayaan diri sendiri.

Pengabaian saya untuk membaca dan merenungkan Firman Tuhan mengakibatkan Yesus Kristus menderita sangsara berkali-kali.

Tindakan saya mengakibatkan Yesus dianiaya terus menerus.