Search This Blog

06 April, 2014

Tuhan Pemimpin




Jikalau tidak ada pimpinan, jatuhlah bangsa, tetapi jikalau penasihat banyak, keselamatan ada.
Amsal 11:14

Siapa yang tidak pernah merasai pimpinan Tuhan? Sejak saya memahami apa sebenarnya kehidupan ini, sejak itulah saya sentiasa merindukan pimpinan Tuhan. Setiap waktu keperluan manusia yang terutama ialah pimpinan. Kenapa pimpinan dan bukan perkara lain?

Sewaktu saya masih kecil dalam umur lima atau enam tahun, ibubapa saya telah menghadiri satu sesi kumpulan umum yang diadakan di kampung saya. Walaupun jarak antara tempat kumpulan umum itu diadakan dengan rumah bapa saya tidaklah jauh sangat, tetapi bagi saya perjalanan waktu malam untuk kembali ke rumah selepas selesai kumpulan umum tidaklah menggembirakan.

Jalan yang berlobang dan berbatu serta becak di sana sini dengan akar-akar kayu yang berselirat benar-benar mencabar keupayaan saya pada waktu itu. Saya fikir laluan kami lebih menyerupai lorong laluan hewan berbanding jalanan manusia dengan rimbunan pokok-pokok yang tinggi menambahkan lagi kepekatan gelap malam. Kubang kerbau ada di mana-mana. Najis-najis kerbau juga membuatkan perjalanan itu lebih menyerupai tekanan berbanding keseronokan. Penerang yang ada cuma sebiji botol yang diisi dengan minyak tanah dan sumbunya dipasang sedemikian rupa sehingga mencacah minyak tanah dibawah botol tersebut. Kemudian dinyalakan. Capaian cahayanya tidaklah terlalu jauh malah sangat terbatas.

Semasa dalam perjalanan, bapa saya mengangkat pelita botol tersebut tinggi ke atas. Cahaya yang agak suram itu, membolehkan abang dan kakak-kakak saya yang berjalan di hadapan dan di belakangnya sekurang-kurang dapat melihat ke mana langkah dihayun. Walaupun cahayanya agak malap dan redup namun dengan cahaya yang bernyala seadanya dapat memimpin perjalanan kami sehingga tiba ke rumah dengan selamat. Pelita botol itulah yang menemani perjalanan kami setiap malam sehinggalah ke malam terakhir kumpulan umum tersebut.

Itu berlaku puluhan tahun yang lalu. Orang-orang yang sangat saya kasihi sudah lama pergi dan telah mendahului saya dan mungkin juga kita semua. Perjalanan hidup ini tentunya ada banyak dan beraneka ragam pengalaman sehingga apabila diimbas kembali, seakan kita mahu dan kita rindu waktu itu berputar semula.

Saudara-saudari yang dikasihi dalam Yesus Kristus, pimpinan Tuhan lebih dari sekadar sebuah cahaya suram. Pimpinan Tuhan lebih dari sebuah cahaya redup. Pimpinan Tuhan lebih dari sebuah cahaya malap. Pimpinan Tuhan melebihi segala-galanya. Kalau bukan kerana pimpinan Tuhan, saya fikir kebanyakan daripada kita tidak akan tahan menelusuri perjalanan hidup yang agak suram, redup, malap dan melelahkan ini. Pimpinan Tuhan membuatkan perjalanan hidup setiap kita seakan sebuah ‘pengambaraan menelusuri sorga kecil’ di dunia yang agak ganas dan serba tak kena ini. Melalui pimpinan Tuhan, penderitaan yang merintangi kehidupan kita dapat kita lalui. Melalui pimpinan Tuhan segala kesusahan, kekecewaan, tekanan, kesakitan, keputus asaan dan permasalahaan hidup membuatkan percaya dan keimanan kita kepada Tuhan menjadi lebih utuh dan teguh setiap waktu.  

Lihatlah dan rasai pimpinan Tuhan setiap saat dalam hidup kita kerana keselamatan yang pasti akan kita raih dan nikmati sebagaimana janji-Nya kepada setiap manusia yang memilih untuk menerima dan mengakui Yesus sebagai juruselamat peribadi.