Setelah itu Ia
kembali kepada murid-murid-Nya itu dan mendapati mereka sedang tidur. Dan Ia
berkata kepada Petrus: "Tidakkah kamu sanggup berjaga-jaga satu jam dengan
Aku? Berjaga-jagalah dan berdoalah, supaya kamu jangan
jatuh ke dalam pencobaan: roh memang penurut, tetapi daging lemah." (Matius
26:40, 41)
“Doa
tidak merubah segalanya bagi anda, doa mengubah anda untuk menghadapi segalanya”.
Inilah ungkapan yang sering memperkuatkan saya. Ketika membacakan petikan ini,
rasanya segenap jiwa raga saya seakan terhibur. Kenapa? Jangan fikir apabila
anda berdoa anda akan banyak wang, jika pada waktu itu anda sangat kesempitan.
Jangan fikir apabila anda berdoa anda akan sembuh dari penyakit anda, jika pada
waktu itu anda sedang menderita sakit. Jangan fikir apabila anda berdoa anda
akan cemerlang dalam peperiksaan yang anda hadapi, jika pada waktu itu anda
sedang menghadapi peperiksaan. Jangan fikir apabila anda berdoa anda tidak akan
terbabit dalam kemalangan, jika pada waktu itu tiba-tiba anda kemalangan.
Jangan fikir apabila anda berdoa anda tidak kehilangan mereka yang sangat anda
kasihi, jika pada waktu itu mereka yang sangat anda kasihi sedang menderita.
Fikirkan bahawa apabila anda berdoa, anda akan mampu menghadapi segala
persoalan hidup ini. Anda akan damai. Anda akan aman. Anda akan terus mampu
memanjatkan rasa syukur dan terima kasih kepada Tuhan yang sempurna dalam kasih
itu.
Saat-saat
terakhir sebelum Dia dibelenggu dan dibawah ke pengadilan pada malam itu, Yesus
Kristus mengambil waktu untuk bersama-sama dengan beberapa orang murid-Nya ke
bukit Zaitun. Dia membawa mereka ke sana sebenarnya untuk berdoa khusus untuk
Dia. Yesus tahu yang tidak lama lagi Dia akan menghadapi siksaan dan
penganiayaan yang paling kejam akibat dosa-dosa manusia. Tinggal beberapa waktu
lagi Dia akan dikorbankan. Lalu Yesus merasa sedih. Dia juga gentar. Inilah
waktu yang paling menggerunkan. Pada saat-saat seperti ini, Yesus mendambakan
dorongan melalui doa oleh ketiga orang murid-Nya dan juga sahabat-Nya. "Hati-Ku
sangat sedih, seperti mau mati rasanya. Tinggallah di sini dan berjaga-jagalah
dengan Aku." (ayat 38). Tetapi murid-murid-Nya sekali lagi lalai dan
terlelap. Tiga kali Dia kembali ke tempat ketiga murid itu berada dan tiga kali
Dia dapati mereka tertidur. Lalu Dia berkata, "... Tidakkah kamu sanggup
berjaga-jaga satu jam dengan Aku? Berjaga-jagalah dan berdoalah, supaya kamu
jangan jatuh ke dalam pencobaan: roh memang penurut, tetapi daging lemah."
(ayat 40, 41). Inilah antara ungkapan terakhir Yesus sebelum Dia ditangkap pada
malam itu. Apa makna ungkapan Yesus Kristus itu bagi anda secara peribadi?
Saudara-saudari
yang dikasihi dalam Yesus Kristus, setiap kita ada 24 jam dalam sehari. Tidak
lebih dan tidak kurang. 12 jam siang dan 12 jam malam. Bagaimana kita
mempergunakan 24 jam tersebut? Dari 24 jam tersebut Yesus Kristus mahu agar
kita menyisihkan hanya 1 jam sahaja dari masa sehari kita untuk Dia. Fikirkan
jika andalah yang bersama dengan Dia di Taman Getsamane itu pada malam terakhir
Dia ditangkap. Setelah anda sedar pada lelapan anda yang kedua dan anda dapati
muka dan jubah Yesus yang putih itu diseliputi peluh warna merah darah,
tidakkah ada rasa kasihan dan keharuan di hati dan jiwa anda? Apakah anda akan
tidur semula selepas sedar kerana Yesus beredar lagi untuk berdoa? [Ia sangat
ketakutan dan makin bersungguh-sungguh berdoa. Peluh-Nya menjadi seperti
titik-titik darah yang bertetesan ke tanah.](Lukas 22:44).
Lemah dan tidak berdaya! Inilah sifat-sifat alami dan manusiawi setiap
manusia. Tiada yang terkecuali. Itu sebab kenapa Yesus menegaskan bahawa, [“...
roh memang penurut, tetapi daging lemah.] (Matius 26:41). Kita patut
mempergunakan sekurang-kurangnya 1 jam untuk Tuhan kita setiap hari.
Merenungkan Firman Tuhan dan berdoa. 15 minit diwaktu pagi. 15 minit
ditengahari. 15 minit diwaktu petang dan 15 minit diwaktu senja atau awal malam.
Selebihnya dari masa kita, bukan itu kita pergunakan untuk mengerjakan
pekerjaan kita demi kemuliaan nama Tuhan?
No comments:
Post a Comment