Search This Blog

24 August, 2015

Tuhan Pengasih



Koyakkanlah hatimu dan jangan pakaianmu, berbaliklah kepada TUHAN, Allahmu, sebab Ia pengasih dan penyayang, panjang sabar dan berlimpah kasih setia, dan Ia menyesal karena hukuman-Nya.
Yoel 2:13

Bersyukur dan bergembira adalah dua perkataan yang selalu kita alami apabila seseorang menyerahkan hidup mereka kepada Tuhan dan memohon dibaptis untuk bergabung dengan anggota besar keluarga Tuhan. Sepanjang beberapa tempoh dalam melaksanakan tanggungjawab bagi berkongsi pengetahuan mengenai kasih Tuhan melalui Alkitab kepada calon-calon baptisan, jiwa kita benar-benar terkesan. Kita terharu kerana usaha kita yang hanya sedikit itu telah membuahkan hasil kerana adanya bisikan dan campur tangan kuasa Roh Al-kudus Tuhan kepada setiap calon baptisan. Itulah kasih Tuhan.

Satu kisah yang benar-benar mengagumkan jiwa saya ialah apabila semua penduduk sebuah kota purbakala berbalik dan bertobat kepada Tuhan. Sebuah kota dengan keluasan yang benar-benar menakjubkan besarnya. Alkitab menyatakan, luasnya mengambil masa tiga hari perjalanan. Apa masalahnya? Kota ini jahat. Penduduk-penduduk kota ini memang luar biasa jahatnya. Saya fikir kota ini benar-benar jahat sehinggakan kejahatannya sampai kepada Tuhan. Tuhan sendiri mengakui kejahatan kota ini, (Yunus 1:2).

Ketika nabi Yunus selesai menyampaikan seruan Tuhan kepada kota Niniwe, penduduk seluruh kota gementar. Satu keajaiban terjadi. Keajaiban ini berlaku kepada setiap penduduk kota tersebut. Bahkan keajaiban itu berlaku kepada ternak mereka juga. Sejurus selepas raja kota ini mendengarkan amaran keras itu, dia langsung bertindak. Saya fikir raja langsung memanggil mesyuarat tergampar. Kemungkinan tidak sampai lima minit. Sebab raja mahu arahannya sampai kepada seluruh rakyat dan hewan ternakan mereka saat itu juga. Dia tidak mahu bertangguh lebih lama lagi. Ini melibatkan antara hidup mati rakyatnya. Dia buat arahan dan perintah: "Manusia dan ternak, lembu sapi dan kambing domba tidak boleh makan apa-apa, tidak boleh makan rumput dan tidak boleh minum air. Haruslah semuanya, manusia dan ternak, berselubung kain kabung dan berseru dengan keras kepada Allah serta haruslah masing-masing berbalik dari tingkah lakunya yang jahat dan dari kekerasan yang dilakukannya. Siapa tahu, mungkin Allah akan berbalik dan menyesal serta berpaling dari murka-Nya yang bernyala-nyala itu, sehingga kita tidak binasa." (Yunus 3:7,8,9). Mereka berpuasa, mereka menyelubungi tubuh mereka dengan kain kabung dan mereka berseru kepada Tuhan. Bukan seruan biasa-biasa tetapi seruan keras kepada Tuhan dan lebih dari itu mereka bertobat dari kejahatan mereka.

Inilah satu kisah klasik yang benar-benar patut menyedarkan kita, umat-umat Tuhan pada akhir zaman ini. Saya sangat terkesan dengan pertobatan dari raja dan seluruh penduduk kota Niniwe ini. Apakah ada diantara pemimpin-pemimpin kita masa kini yang mempunyai kesedaran akan pertobatan yang sesunguhnya kepada Tuhan? Atau mereka hanya ada kesedaran utama mengenai ‘kekuasaan dan kedudukan’? Malah kebanyakan manusia yang sering menyebut “Tuhan, Tuhan” masih tidak sedar dan bertobat dan masih tidak sedar-sedar bahawa "’Tidak lama’ lagi, maka ‘dunia’ akan ditunggangbalikkan.”  Bahkan mereka yang memanggil diri mereka ‘kristian’ masih tidak “berbalik dari tingkah lakunya yang jahat.”

Saudara, perasaan Tuhan tidak boleh ‘dijual-beli’. Kita perlu “koyakkanlah hatimu dan jangan pakaianmu”, (Yoel 2:13). Sebab “Ketika Allah melihat perbuatan mereka itu, yakni bagaimana mereka berbalik dari tingkah lakunya yang jahat, maka menyesallah Allah karena malapetaka yang telah dirancangkan-Nya terhadap mereka, dan Ia pun tidak jadi melakukannya,” ( Yunus 3:10).