Search This Blog

08 September, 2015

Tuhan Tidak Pernah Membenci Pedosa Tetapi Dosa



“Karena kuasa ilahi-Nya telah menganugerahkan kepada kita segala sesuatu yang berguna untuk hidup yang saleh oleh pengenalan kita akan Dia, yang telah memanggil kita oleh kuasa-Nya yang mulia dan ajaib.” (2 Petrus 1:3)

Apakah dosa yang paling teruk yang dapat kita bayangkan? Apakah kita rasa kitalah yang paling berdosa? Tahniah kerana kita menyedari keberdosaan kita! Kesedaran itu sebenarnya pekerjaan Roh Kudus Tuhan. Dia masih sayang dan terus mengasihi kita. Walaupun Alkitab mengatakan bahawa “upah dosa ialah maut” (Roma 6:23). Tetapi ketahuilah bahawa apa pun jenis dosa, Tuhan sedia mengampuninya selagi kita mahu bertobat. Penyesalan akan dosa-dosa yang kita lakukan dan memohon keampunan terhadapnya, sentiasa memancarkan kasih Tuhan untuk menjangkau kita sedalam mana pun kita terjerumus ke dalam gaung dosa apa pun. Dia tidak pernah berkata tidak untuk penyerahan dan pertobatan kita yang tidak berdaya ini.

Sama ada tokoh-tokoh utama atau nama-nama kecil yang ada dan pernah Alkitab catatkan, semua mereka memperlihatkan kepada kita bahawa Tuhan sedia dan sentiasa bersedia menangani dosa-dosa dan setiap dosa yang manusia lakukan dengan cara yang paling unik. Pengampunan-Nya sentiasa berlimpah dengan keluruhan dan kasih setia. Selama 6000 tahun, Tuhan sudah membuktikan kepada setiap manusia yang mampu mendengar dengan telinga jiwa dan mampu melihat dengan mata hati, bahawa tiada dosa yang Tuhan tidak mampu ampunkan. Darah Yesus Kristus yang telah tercurah menjadi bukti hidup sepanjang zaman dan kemudian dizaman kekekalan nanti, bahawa Dia sedia dan sentiasa sedia mengampuni kita. Sebab firman Tuhan, “Sekalipun dosamu merah seperti kirmizi, akan menjadi putih seperti salju; sekalipun berwarna merah seperti kain kesumba, akan menjadi putih seperti bulu domba.” (Yesaya 1:18).

Dosalah yang telah membina jurang paling lebar dan dalam yang tidak terperi ngerinya, menyebabkan manusia terpisah dari Tuhan Yang Maha Agung. Kemusnahan menjadi hadiah pilihan sendiri yang paling ngeri untuk manusia. Itu adalah pilihan teramat malang bagi manusia. Kematian terjadi kepada setiap manusia bahkan setiap objek bernafas yang Tuhan ciptakan dengan kasih, akan mengalami sengat maut. Sebab itu Tuhan tidak pernah mengasihi dosa. Tuhan membenci dosa! Namun Tuhan tidak pernah membenci manusia yang berdosa ini. Keindahan kasihnya Tuhan tidak pernah mampu kita selami. Semakin kita berusaha untuk menyelaminya semakin kita keliru. Ingatlah bahawa kasih Tuhan kepada umat manusia tidak pernah berubah sejak masa penciptaan sehingga kesaat-saat ini.

Satu kali Lewi, murid Yesus, bekas pemungut cukai mengadakan perjamuan besar di rumahnya. Dia menjemput “sejumlah besar pemungut cukai” (Lukas 5:29) beserta ramai orang untuk makan bersama-sama. Orang-orang Farisi dan ahli-ahli Taurat tidak senang dengan keadaan ini. "Mengapa kamu makan dan minum bersama-sama dengan pemungut cukai dan orang berdosa?" (Lukas 5:30). Sungut mereka kepada murid-murid Yesus. Mereka fikir, mereka adalah orang-orang benar dan saleh yang tidak pernah berbuat dosa. Sebenarnya, luaran mereka megah dengan penurutan yang hanya bersifat legalistik tanpa kasih dan dalaman mereka juga bersifat sombong, angkuh dan mementingkan diri sendiri. "Bukan orang sehat yang memerlukan tabib, tetapi orang sakit; Aku datang bukan untuk memanggil orang benar, tetapi orang berdosa, supaya mereka bertobat." (Lukas 5:31, 32). Yesus menjawab mereka dengan kata-kata sederhana yang penuh kasih tetapi mengandung himbauan yang berkuasa. Jawapan Yesus yang lembut itu menyucuk jauh ke dalam urat saraf dan tulang sum-sum perasaan mereka. Namun mereka masih mengutarakan alasan yang tidak pernah membantu untuk menyedarkan mereka. Kebencian dan kesombongan adalah dosa yang sudah menjadi darah daging mereka. Kecuali mereka meninggalkan dosa-dosa itu, selagi itu mereka tidak pernah akan terlepas dari hukuman yang maha dashyat dan menggerunkan itu: api neraka yang mampu membinasakan walau setitik dosa pun!