Apakah dosa yang paling teruk yang dapat kita bayangkan? Apakah kita rasa
kitalah yang paling berdosa? Tahniah kerana kita menyedari keberdosaan kita!
Kesedaran itu sebenarnya pekerjaan Roh Kudus Tuhan. Dia masih sayang dan terus mengasihi
kita. Walaupun Alkitab mengatakan bahawa “upah dosa ialah maut” (Roma 6:23). Tetapi
ketahuilah bahawa apa pun jenis dosa, Tuhan sedia mengampuninya selagi kita
mahu bertobat. Penyesalan akan dosa-dosa yang kita lakukan dan memohon
keampunan terhadapnya, sentiasa memancarkan kasih Tuhan untuk menjangkau kita
sedalam mana pun kita terjerumus ke dalam gaung dosa apa pun. Dia tidak pernah
berkata tidak untuk penyerahan dan pertobatan kita yang tidak berdaya ini.
Sama ada
tokoh-tokoh utama atau nama-nama kecil yang ada dan pernah Alkitab catatkan, semua
mereka memperlihatkan kepada kita bahawa Tuhan sedia dan sentiasa bersedia
menangani dosa-dosa dan setiap dosa yang manusia lakukan dengan cara yang
paling unik. Pengampunan-Nya sentiasa berlimpah dengan keluruhan dan kasih
setia. Selama 6000 tahun, Tuhan sudah membuktikan kepada setiap manusia yang
mampu mendengar dengan telinga jiwa dan mampu melihat dengan mata hati, bahawa
tiada dosa yang Tuhan tidak mampu ampunkan. Darah Yesus Kristus yang telah
tercurah menjadi bukti hidup sepanjang zaman dan kemudian dizaman kekekalan nanti,
bahawa Dia sedia dan sentiasa sedia mengampuni kita. Sebab firman Tuhan, “Sekalipun dosamu merah
seperti kirmizi, akan menjadi putih seperti salju; sekalipun berwarna merah
seperti kain kesumba, akan menjadi putih seperti bulu domba.” (Yesaya 1:18).
Dosalah yang telah membina jurang paling lebar dan dalam yang tidak terperi
ngerinya, menyebabkan manusia terpisah dari Tuhan Yang Maha Agung. Kemusnahan
menjadi hadiah pilihan sendiri yang paling ngeri untuk manusia. Itu adalah
pilihan teramat malang bagi manusia. Kematian terjadi kepada setiap manusia
bahkan setiap objek bernafas yang Tuhan ciptakan dengan kasih, akan mengalami
sengat maut. Sebab itu Tuhan tidak pernah mengasihi dosa. Tuhan membenci dosa! Namun
Tuhan tidak pernah membenci manusia yang berdosa ini. Keindahan kasihnya Tuhan
tidak pernah mampu kita selami. Semakin kita berusaha untuk menyelaminya
semakin kita keliru. Ingatlah bahawa kasih Tuhan kepada umat manusia tidak
pernah berubah sejak masa penciptaan sehingga kesaat-saat ini.
Satu kali Lewi, murid Yesus, bekas pemungut cukai mengadakan perjamuan
besar di rumahnya. Dia menjemput “sejumlah besar pemungut cukai” (Lukas 5:29)
beserta ramai orang untuk makan bersama-sama. Orang-orang Farisi dan ahli-ahli
Taurat tidak senang dengan keadaan ini. "Mengapa kamu makan dan minum
bersama-sama dengan pemungut cukai dan orang berdosa?" (Lukas 5:30).
Sungut mereka kepada murid-murid Yesus. Mereka fikir, mereka adalah orang-orang
benar dan saleh yang tidak pernah berbuat dosa. Sebenarnya, luaran mereka megah
dengan penurutan yang hanya bersifat legalistik tanpa kasih dan dalaman mereka juga
bersifat sombong, angkuh dan mementingkan diri sendiri. "Bukan orang sehat
yang memerlukan tabib, tetapi orang sakit; Aku datang bukan untuk memanggil
orang benar, tetapi orang berdosa, supaya mereka bertobat." (Lukas 5:31,
32). Yesus menjawab mereka dengan kata-kata sederhana yang penuh kasih tetapi
mengandung himbauan yang berkuasa. Jawapan Yesus yang lembut itu menyucuk jauh
ke dalam urat saraf dan tulang sum-sum perasaan mereka. Namun mereka masih
mengutarakan alasan yang tidak pernah membantu untuk menyedarkan mereka.
Kebencian dan kesombongan adalah dosa yang sudah menjadi darah daging mereka.
Kecuali mereka meninggalkan dosa-dosa itu, selagi itu mereka tidak pernah akan
terlepas dari hukuman yang maha dashyat dan menggerunkan itu: api neraka yang
mampu membinasakan walau setitik dosa pun!
No comments:
Post a Comment