Saya
pernah mendengar seseorang pernah berkata bahawa menjadi seorang Advent itu sangat
berat. Mereka kata terlalu banyak tegahan yang Advent suarakan. Mereka kata
terlalu banyak larangan yang Advent katakan. Mereka kata Advent tidak
memberikan kebebasan kepada mereka. Mulai dari minuman sehingga kepada makanan, dari cara berpakaian
sehingga kepada perhiasan diri, dari bahan-bahan bacaan sehingga kepada musik,
dari cara-cara persahabatan sehingga kepada pergaulan. Benarkan Advent sangat
membebankan? Benarkah Advent membuatkan kita tidak tenang? Benarkah Advent
tidak memberikan sukacita? Sebagai seorang Advent, benarkah anda terbeban? Dari
segi apa anda terbeban? Sahabat saya yang terindah, Yesus Kristus berkata, “Marilah kepada-Ku, semua yang letih lesu dan berbeban
berat, Aku akan memberi kelegaan kepadamu.” (Matius 11:28).
Saya telah hidup sebagai
seorang Advent sejak lahir. Saya akui saya bukanlah orang saleh. Saya bukanlah
orang suci. Saya bukan ulama dalam agama Advent. Saya hanyalah orang
biasa-biasa sebagaimana orang lain juga. Namun ada banyak perkara yang menyenangkan
saya selama hidup-hidup saya yang singkat ini sebagai Advent. Ada banyak perkara yang jauh lebih indah
mengenai Advent yang saya boleh kongsikan kepada siapa pun juga. Bukan
semata-mata kerana saya Advent tetapi kerana Advent itu ada kebenaran mutlak
yang patut diketahui oleh segenap lapisan manusia yang hidup di dunia ini. Bukan
hanya dari segi minuman, makanan, pakaian, perhiasan, pergaulan, teknologi,
hiburan, bacaan, pengangkutan, ozon, angkasa lepas, tontonan dan musik, bahkan
perkara mengenai kehidupan pun Advent ada berita terkini mengenainya.
Saya
tidak cerewet mengenai makanan dan minuman. Namun ada banyak kakangan yang
patut saya lalui apabila memilih jenis makanan dan minuman yang saya ambil.
Saya akui saya bukanlah vegetarian dan saya masih memakan bahan-bahan makanan
yang bersumberkan haiwan. Yang paling utama haiwan yang tersenarai dalam Imamat
11:2 – 47 adalah senarai haiwan yang boleh dimakan dan yang tidak boleh dimakan
atau haram. Demikian juga halnya dengan minuman. Alkitab sangat jelas mengenai
minuman yang memabukkan. Kita baca, “Anggur adalah pencemooh, minuman keras adalah peribut,
tidaklah bijak orang yang terhuyung-huyung karenanya.” (Amsal 20:1). Saya
tidak pernah mengecapi kesedapan minuman nescafe walaupun kebanyakan rakan-rakan
saya yang meminumnya mengatakan bahawa minuman itu sedap dan lazat, kerana air
biasa jauh lebih enak bagi saya. Begitu jugalah dengan musik. Ada di antara mereka mengatakan saya
ketinggalan zaman kerana menyukai musik sentimental yang hanya berkisarkan
kepada kerohanian berbanding mereka yang sukakan musik bombastik yang
membingitkan telinga.
Saudara-saudari yang dikasihi dalam Tuhan Yesus Kristus, jika anda merasa terbeban dengan agama dan iman anda sebagai Advent, saya takut keagamaan dan kepercayaan anda hanya bersifat luaran sahaja dan anda perlu berserah sepenuhnya kepada Kristus dan berdoa dengan lebih tekun lagi. Semua perkara yang berkaitan dengan agama Advent dan iman kita, sepatutnya kita rela menuruti dan mengamalkannya dalam kehidupan kita tanpa paksaan. Sepatutnya kita tidak rasa terbeban. Menuruti segala sesuatu mengenai Advent sepatutnya menjadi kerinduan kita sejak kita mengenali Advent kerana satu sebab iaitu kita mengasihi Yesus Kristus dan Dia mengasihi kita lebih dahulu bahkan Dia mengorbankan diri-Nya khusus untuk memberikan keselamatan kepada setiap kita, anda dan saya. Kamu tahu Yesus berkata, "Jikalau kamu mengasihi Aku, kamu akan menuruti segala perintah-Ku.” (Yohanes 14:15). Ingatlah, jika anda merasa terbeban untuk melaksanakan semua yang dituntut oleh agama dan kepercayaan anda, sebenarnya ada kuasa lain yang cuba mempengaruhi anda. Anda dalam bahaya. Waspadalah.
No comments:
Post a Comment