Jikalau
tidak ada pimpinan, jatuhlah bangsa, tetapi jikalau penasihat banyak,
keselamatan ada.
Amsal 11:14
Siapa
yang tidak pernah merasai pimpinan Tuhan? Sejak saya memahami apa sebenarnya
kehidupan ini, sejak itulah saya sentiasa merindukan pimpinan Tuhan. Setiap
waktu keperluan manusia yang terutama ialah pimpinan. Kenapa pimpinan dan bukan
perkara lain?
Sewaktu
saya masih kecil dalam umur lima atau enam tahun, ibubapa saya telah menghadiri
satu sesi kumpulan umum yang diadakan di kampung saya. Walaupun jarak antara
tempat kumpulan umum itu diadakan dengan rumah bapa saya tidaklah jauh sangat,
tetapi bagi saya perjalanan waktu malam untuk kembali ke rumah selepas selesai
kumpulan umum tidaklah menggembirakan.
Jalan
yang berlobang dan berbatu serta becak di sana sini dengan akar-akar kayu yang
berselirat benar-benar mencabar keupayaan saya pada waktu itu. Saya fikir
laluan kami lebih menyerupai lorong laluan hewan berbanding jalanan manusia
dengan rimbunan pokok-pokok yang tinggi menambahkan lagi kepekatan gelap malam.
Kubang kerbau ada di mana-mana. Najis-najis kerbau juga membuatkan perjalanan
itu lebih menyerupai tekanan berbanding keseronokan. Penerang yang ada cuma
sebiji botol yang diisi dengan minyak tanah dan sumbunya dipasang sedemikian
rupa sehingga mencacah minyak tanah dibawah botol tersebut. Kemudian
dinyalakan. Capaian cahayanya tidaklah terlalu jauh malah sangat terbatas.
Semasa
dalam perjalanan, bapa saya mengangkat pelita botol tersebut tinggi ke atas.
Cahaya yang agak suram itu, membolehkan abang dan kakak-kakak saya yang berjalan
di hadapan dan di belakangnya sekurang-kurang dapat melihat ke mana langkah
dihayun. Walaupun cahayanya agak malap dan redup namun dengan cahaya yang
bernyala seadanya dapat memimpin perjalanan kami sehingga tiba ke rumah dengan
selamat. Pelita botol itulah yang menemani perjalanan kami setiap malam
sehinggalah ke malam terakhir kumpulan umum tersebut.
Itu
berlaku puluhan tahun yang lalu. Orang-orang yang sangat saya kasihi sudah lama
pergi dan telah mendahului saya dan mungkin juga kita semua. Perjalanan hidup
ini tentunya ada banyak dan beraneka ragam pengalaman sehingga apabila diimbas
kembali, seakan kita mahu dan kita rindu waktu itu berputar semula.
Saudara-saudari
yang dikasihi dalam Yesus Kristus, pimpinan Tuhan lebih dari sekadar sebuah
cahaya suram. Pimpinan Tuhan lebih dari sebuah cahaya redup. Pimpinan Tuhan
lebih dari sebuah cahaya malap. Pimpinan Tuhan melebihi segala-galanya. Kalau
bukan kerana pimpinan Tuhan, saya fikir kebanyakan daripada kita tidak akan
tahan menelusuri perjalanan hidup yang agak suram, redup, malap dan melelahkan
ini. Pimpinan Tuhan membuatkan perjalanan hidup setiap kita seakan sebuah ‘pengambaraan
menelusuri sorga kecil’ di dunia yang agak ganas dan serba tak kena ini. Melalui
pimpinan Tuhan, penderitaan yang merintangi kehidupan kita dapat kita lalui.
Melalui pimpinan Tuhan segala kesusahan, kekecewaan, tekanan, kesakitan, keputus
asaan dan permasalahaan hidup membuatkan percaya dan keimanan kita kepada Tuhan
menjadi lebih utuh dan teguh setiap waktu.
Lihatlah
dan rasai pimpinan Tuhan setiap saat dalam hidup kita kerana keselamatan yang
pasti akan kita raih dan nikmati sebagaimana janji-Nya kepada setiap manusia
yang memilih untuk menerima dan mengakui Yesus sebagai juruselamat peribadi.