Sekalipun ada emas dan permata banyak, tetapi yang paling berharga ialah bibir yang berpengetahuan. Amsal 20:15
Raja Solomo terkenal dengan kebijaksanaan yang tidak terhingga. Ini adalah anugerah dan pemberian dari Tuhan. Disamping kebijaksanaan, dia juga memiliki kekayaan yang tidak ada bandingannya di mana pun di permukaan bumi ini. Itulah yang pernah ada dalam sejarah dunia: kekayaan!
Ayat renungan saya pada hari ini memperlihatkan satu amaran. Amaran yang harus diperhatikan oleh setiap manusia. Manusia yang menghuni permukaan bumi ini.
Kekayaan dan kemewahan tidak pernah kekal. Ada masanya kekayaan itu akan lenyap dalam sekelip mata. Mungkin juga kemewahan itu terlalu banyak sehingga sukar untuk dihabiskan tetapi manusia tidak akan dapat menggunakannya untuk selamanya. Umur manusia paling panjang pun mungkin boleh mencapai lapan puluh tahun atau sembilan puluh tahun itu pun sudah dipenjarai dengan penderitaan sakit.
Lalu, apa yang paling berharga dalam kehidupan manusia itu sendiri? Raja bijaksana yang pernah ada menyatakan hanya ‘bibir yang berpengetahuan’ sahaja yang paling berharga! Kekayaan tidak. Kemewahan pun tidak. Bagaimana dengan emas dan permata? Itu pun tidak menandingi nilai pengetahuan yang ada pada bibir.
Ketika saya dan adik-beradik yang lain sedang membesar, ibu kami sentiasa berpesan dan mengatakan banyak perkara sebagai nasihat untuk kami semua. Sehinggakan ada kakak-kakak saya mendenguskan apabila mendengar nasihat-nasihat dari bibir ibu kami. Mereka kata ibu terlalu banyak berleter dan membebel. Buang masa sahaja.
Kini, apabila saya dewasa dan sudah menjadi ayah kepada beberapa orang anak, saya sedar bahawa setiap kata-kata yang keluar dari bibir saya adalah semata-mata untuk membina kendiri anak-anak saya. Bukan hanya untuk berleter dan membebel tetapi lebih daripada itu adalah untuk memimpin, peduli, mengambil berat, dan prihatin untuk mereka.
Satu tujuan iaitu dengan harapan mereka mendengarkan kata-kata yang kadang-kadang bertali arus keluar dari bibir ini. Dalam hati kecil ini selalu berkata, semoga anak-anakku mendengarkan nasihat ini dan terlebih mendengarkan himbauan Tuhan agar mereka menjadi manusia yang berguna untuk masyarakat, dan negara tetapi terlebih untuk memulia dan meninggikan nama Tuhan.
Mulai saat ini dan apabila anda sampai ke tahap pembacaan ini, ketahuilah bahawa jika anda ada sepuluh buah rumah besar lengkap dengan segala kelengkapan moden, sepuluh buah kereta besar, sepuluh ladang pertanian yang luas, sepuluh ladang ternakan, serta sepuluh syarikat maju, itu tidak kemana-mana. Semuanya itu tidak akan dibawah ke liang lahad apabila maut menjemput.
Tetapi ada satu yang pasti: pengetahuan yang ada pada kita. Persoalannya ialah apakah kita telah mempergunakan pengetahuan yang kita ada untuk memuliakan nama Tuhan?
Gunakan pengetahuan yang kita ada untuk membantu orang lain yang memerlukan bukan untuk melukai perasaan mereka. Sering ada ramai orang yang bijak berkata-kata sehingga mereka tidak sedar bahawa kata-kata mereka menusuk jauh ke dalam jiwa bagi sesetengah orang. Ini mirip kepada perlakuan membunuh.
Apa pun ‘bibir yang berpengetahuan’ yang raja Solomo nyatakan di Amsal 20:15 ialah kebijaksanaan berkata-kata yang dipenuhi dengan kasih demi untuk membangun, memberi semangat, memotivasi, menghibur, mendorong, dan menghimbau saudara-saudara yang dalam kelesuan, putus asa, kecewa, dan depresi. Layanilah sesama manusia dengan lemah lembut melalui ‘bibir yang berpengetahuan’.
Semoga kekayaan yang Tuhan anugerahkan kepada kita beserta dengan pengetahuan yang kita ada dapat menghimbau pemikiran, jiwa, dan diri kita untuk lebih dekat kepada Tuhan terlebih mempergunakan kemewahan itu untukk melayani pekerjaan Tuhan semantara masa masih ada.
Tuhan memberkati.
Oleh: S. Sung
No comments:
Post a Comment